Sunday, June 10, 2018

1Mas: A re-branding in progress...



By Nurjannah Ali

Konfederasi Hoki Malaysia (KHM) tidak akan berhenti daripada menjalankan program pembangunan malah kini dalam persediaan untuk melancarkan program yang diberikan nafas baru daripada program terdahulu 1MAS dalam masa terdekat.
  Timbalan Presiden Kanan yang juga Pengerusi Pembangunan KHM, Prof Dato’ Dr Shamala Subramaniam menjelaskan KHM terus komited untuk menjalankan dan meneruskan program pembangunan bagi memastikan sukan hoki terus mempunyai pelapis dan penstrukturan baru yang akan diperkenalkan adalah salah satu langkah untuk membawa program pembangunan hoki ke satu tahap yang lebih baik.
  “KHM telah membuat penelitian terhadap keberkesanan program dalam beberapa aspek bagi memastikan kualiti program terus berada di tahap teratas. Antara yang dinilai semula termasuk menilai jumlah pusat latihan yang mungkin akan memperlihatkan sedikit kelainan kerana kami telah mengkaji dari segi skala geografi untuk mengoptimumkan keberkesanan program.
  “Kami juga melihat ada berlaku pertindihan program jadi kami akan menggabungkan program tersebut agar fokus, kualiti akan dapat terus dipertingkatkan daripada program 1MAS sebelum ini dan ingin saya tegaskan disini kami tidak melancarkan program baru sebaliknya menambahbaik daripada program lama serta memberikan nafas baru untuk diangkat ke tahap yang lebih baik,” jelas Dato Shamala.
  Dalam perkembangan yang sama, menurut Pengarah Pembangunan KHM, Tai Beng Hai, program 1 MAS yang diilhamkan pada tahun 2010 oleh Kebawah Duli Yang Teramat Mulia Tengku Mahkota Pahang Tengku Abdullah Al-Haj Ibni Sultan Haji Ahmad Shah mendapat peruntukan dana sebanyak RM 11 juta daripada kerajaan untuk digunakan dalam tempoh lima tahun dan ketelusan pihak pentadbiran mengendalikan dana yang diberikan, dana tersebut dapat bertahan sehingga tujuh tahun selain program 1MAS telah diselaraskan dengan teliti secara bersama oleh Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara dan Presiden KHM.
  “Program 1MAS merupakan cetusan idea KDYTM Tengku Abdullah Al-Haj Ibni Sultan Haji Ahmad Shah dan ia merupakan projek pembangunan jangka masa panjang untuk melahirkan pemain elit muda dan bersedia untuk beraksi di peringkat antarabangsa.
  “Dana diperolehi daripada kerajaan sebanyak RM 11juta untuk digunakan bagi tempoh lima tahun (2010 – 2015) dan kerana pihak pengurusan menggunakan dana dengan telus serta bijak menyelia dana yang diberikan kami dapat menggunakan dana tersebut untuk tempoh tujuh tahun sehingga 2017.
  “Program 1MAS mempunyai 43 pusat latihan dan 67 jurulatih bagi lelaki serta 14 pusat latihan  dan 25 jurulatih bagi perempuan, dan kerana ia merupakan program yang bagus serta dapat membimbing pemain-pemain muda ketahap yang lebih tinggi jadi pihak KHM telah memikirkan untuk membuat penstrukturan semula program ini mengikut keperluan semasa dan diselaraskan mengikut hala tuju KHM selain mahu menggunakan cara pembangunann yang lebih dinamik seperti dari sudut untuk mempertingkatkan ilmu kejurulatihan dan pendedahan pemain kepada teknik-teknik serta konsep terkini melalui website dan teknologi video,” jelas Beng Hai.