Thursday, September 7, 2017

Five national players in tax trouble...



Oleh Saiful Affendy Sapran

KUALA LUMPUR: Kelemahan pihak pengurusan kelab yang beraksi dalam saingan Liga Hoki Malaysia (LHM), Terengganu Hockey Team (THT) dilihat bakal memberi kesan terhadap lima pemainnya yang beraksi bersama skuad hoki negara.
  Ini kerana, lima pemain itu, andai dipilih Stephen van Huizen, berkemungkinan besar akan dihalang untuk ke luar negara bagi menghadapi saingan Piala Asia di Dhaka, bulan depan, kerana gagal menjelaskan bayaran cukai pendapatan untuk 2015.
  Menurut sumber, pihak pengurusan THT iaitu Persatuan Hoki Terengganu (PHT) didakwa tidak memaklumkan lebih awal kepada setiap pemain bahawa mereka perlu membayar cukai pendapatan.
  Malah jelas sumber, di dalam kontrak pemain, tidak dinyatakan bahawa mereka perlu membayar cukai pendapatan.
  Hanya pada Januari lalu barulah pemain THT dimaklumkan mengenai perkara itu selepas pihak pengurusan memanggil semua mereka untuk mengadakan perbincangan bersama Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).
  Lebih parah, ada pemain yang perlu membayar tuntutan cukai pendapatan sehingga mencecah kira-kira RM35,000, termasuk penalti lewat melakukan bayaran.
  "Masalah sekarang ialah apabila pihak pengurusan langsung tak maklumkan kepada pemain mengenai perkara ini lebih awal.
  "Jika setiap pemain tahu, sudah pasti mereka akan membayar cukai itu.   Sekarang macam mana nak cari duit dalam jumlah yang banyak untuk melakukan bayaran?," katanya.
  Jelas sumber itu, perkara paling membimbangkan adalah membabitkan lima pemain kebangsaan yang bakal terbang ke Dhaka bulan depan.
  "Untuk pemain lain, mungkin tidak terlalu berdepan masalah sangat. Tapi bagaimana pula pemain yang bersama skuad kebangsaan ketika ini kerana difahamkan, mereka mungkin akan dihalang untuk ke luar negara sekiranya gagal jelaskan cukai pendapatan," katanya.
  Malah sumber itu berkata, pihak persatuan juga masih gagal membayar gaji bulanan setiap pemain yang sudah tertunggak selama dua bulan.
  THT adalah antara pasukan utama pada saingan LHM dan pernah memenangi kejuaraan liga sebanyak tiga kali, termasuk tahun lalu.