Thursday, May 3, 2018

Rayuan Fadzil didengari

PRESIDEN MHC, Datuk Seri Subahan Kamal.



KUALA LUMPUR: Ahmad Fadzil Zainal yang pernah beraksi dalam dua temasya Sukan Olimpik kini boleh menarik nafas lega selepas usahanya untuk mendapatkan bantuan bagi pembedahan pintasan jantung menemui jalan penyelesaian dengan Konfederasi Hoki Malaysia (MHC) turut menawarkan untuk membantu bekas penjaga gol skuad hoki negara itu.
Fadzil menjalani pemeriksaan di Institut Jantung Negara (IJN) baru-baru ini sebelum mendapati ada tiga halangan di saluran jantungnya.
Beliau kemudian menjalani prosedur angioplasty tetapi tidak berjaya dan memerlukan RM40,000 untuk menjalani pembedahan pintasan jantung.
Fadzil sudah mendapatkan bantuan Yayasan Kebajikan Atlet Kebangsaan (YAKEB) yang berjanji untuk menyumbang RM20,000.
Yayasan Hoki Malaysia turut memberi jaminan untuk memberikan sumbangan baki RM20,000 lagi.
"Saya bercakap dengan Ahmad dan beliau beritahu saya YAKEB sedia memberi sumbangan RM20,000 sementara Yayasan Hoki juga memberi jaminan untuk memberi sumbangan baki sejumlah RM20,000 lagi.
"Saya akan menemuinya secara peribadi apabila beliau kembali menjalani pemeriksaan di IJN minggu depan dan kemudian melihat apa yang boleh MHC bantu," kata Presiden MHC, Datuk Seri Subahan Kamal hari ini.
Fadzil mewakili Malaysia selama 14 tahun dari 1978 hingga 1992 yang menyaksikannya beraksi pada Piala Dunia 1982 di Bombay, Sukan Olimpik Los Angeles 1984 dan Sukan Olimpik Barcelona 1992 selain tiga Sukan Asia (1982, 1986 dan 1990).
Sementara itu, Fadzil berkata: "Saya tidak bekerja dan tidak mempunyai wang untuk menjalani pembedahan. Saya juga menjaga ayah yang tidak begitu sihat."