(HARIAN METRO)
Konfederasi Hoki Malaysia (MHC) akan mengadakan sidang media, Isnin bagi mengumumkan keputusan Persekutuan Hoki Antarabangsa (FIH) yang tidak menghukum Kumar lebih lanjut selepas enam bulan tersisih sejak keputusan ujian itu diumumkan.
Khabar gembira itu disahkan sumber yang boleh dipercayai kepada Sukan NSTP.
Kumar gagal ujian doping ketika saingan Piala Asia di Dhaka, Bangladesh, Oktober lalu apabila sampel air kencingnya didapati mengandungi sibutramine, salah satu bahan larangan Agensi Anti Doping Dunia (WADA).
Malaysia tewas 1-2 di tangan India pada final Piala Asia dan itu adalah persembahan terbaik skuad negara sebelum Kumar digantung.
Malaysia menamatkan saingan di tempat keempat dan kelima ketika pertandingan Piala Sultan Azlan Shah dan Sukan Komanwel baru-baru ini.
Bagaimanapun perkembangan terbaru itu menyaksikan Kumar bakal diturunkan untuk menghadapi Sukan Asia Indonesia dari 18 Ogos hingga 2 September nanti.
Sumber itu berkata, Kumar tidak perlu menghadiri sesi pendengaran FIH kerana rekod bersihnya dalam hoki selain tidak menunjukkan penggunaan bahan terlarang berkenaan adalah untuk meningkatkan prestasinya.
Kebiasaannya, sibutramine digunakan untuk menguruskan badan.
Kumar mewakili Malaysia sebanyak 295 kali di pentas antarabangsa selain menjalani 10 ujian doping sepanjang kariernya dengan semuanya adalah negatif.
Dia tidak menjalani latihan bersama skuad negara selepas ujiannya didapati positif namun tempoh enam bulan tidak akan menjadi masalah kepada Kumar untuk kembali berada pada tahap terbaik menjelang Sukan Asia.
Malaysia berharap untuk memenangi emas pertama hoki Sukan Asia dan layak ke Olimpik Tokyo 2020 dengan kehadiran penjaga gol berpengalaman itu pasti mengukuhkan lagi benteng negara.