By Bazly Azmi
"KLHC has informed the Malaysian Hockey Confederation (MHC) that there is a big possibility that we might not field a team in the 2019 MHL. Players have also been told to be ready to find a new club," said KLHC owner George Koshy
Ini tamparan hebat untuk arena hoki negara.
Sebuah kelab yang memiliki rekod gah degan enam kali kejuaraan liga, juara Piala TNB empat kali, tidak termasuk deretan Piala Sumbangsih dan Piala Tan Sri P Alagendra - akhirnya mahu menarik diri daripada Liga Hoki Malaysia (LHM)
Kelab Hoki Kuala Lumpur (KLHC) menyertai LHM sejak 2010 walaupun sebelum itu mereka dikenali sebagai Ernst & Young (E&Y).
Gergasi ini pernah dibarisi pemain ternama kebangsaan seperti Mirnawan Nawawi, Rodhanizam Mat Radzi, mendiang Chua Boon Huat, Zulkifli Rejab, Ismail Abu, Tengku Ahmad Tajuddin Tengku Abdul Jalil, Sukri Mutalib, Muhammad Razie Abd Rahim hinggalah generasi baru seperti Mohd Haziq Shamsul.
"KLHC sudah memaklumkan Konfederasi Hoki Malaysia (KHM) bahawa kami kemungkinan besar tidak akan menyertai LHM 2019. Pemain sudah dimaklumkan untuk bersiap-sedia mencari pasukan baru," kata pemilik kelab, George Koshy.
"Keputusan ini cukup mengecewakan. Tidak sangka, kelab besar seperti KLHC akan tutup kedai. Kami sudah mengecap semua kejuaraan domestik malah pernah bergelar juara kelab Asia (2007)," kata kapten, Sukri Mutalib.
"Satu pengalaman indah menyarung jersi E&Y. Saya harap kelab ini dapat diselamatkan kerana mereka sudah menetapkan penanda aras yang tinggi dalam liga," kata Datuk Mirnawan Nawawi.
KLHC tidak memaklumkan punca pembubaran mereka tetapi dipercayai ada kaitan dengan kewangan.
George jadi pelabur tunggal sejak 2010 dan untuk setiap musim, beliau terpaksa mengeluarkan kos sendiri hampir RM2,000,000 untuk saingan selama dua bulan.
Adakah beliau mendapat pulangan? Adakah beliau dihargai? Adakah beliau mampu memastikan KLHC masih kompetitif untuk tempoh 10 tahun lagi?
Perlu diingatkan, suntikan dana kelab seperti Terengganu Hockey Team (THT) dan Universiti Kuala Lumpur (UniKL) kian bertambah. Unikl contohnya, sedang menunggu stadium mereka disiapkan (dijangka Mei ini).
Mereka akan muncul kelab pertama di Malaysia memiliki stadium dan rumah kelab sendiri.
Persoalan paling besar, jika KLHC yang gah dengan Piala Sumbangsih, Piala Tan Sri P Alagendra dan muncul naib juara liga serta Piala TNB boleh menarik diri, bagaimana dengan pasukan kecil lain?
Bagaimana dengan Maybank, TNB Thunderbolt?
Jika KLHC boleh menarik diri, apa akan berlaku kepada LHM? Adakah KHM hanya memerhatikan kelab elit melangkah pergi?
Saya pernah menyuarakan kebimbangan dalam program Sidang Sukan bahawa LHM akan terkubur jika KHM berdiam diri, meneruskan penganjuran setiap tahun tanpa penambahbaikan, tanpa mengkaji nilai komersial liga.
Akhirnya, kebimbangan itu berlaku.
Semoga George dapat cari jalan penyelesaian tapi jika gagal, selamat tinggal KLHC!